PKPD Di Taman Mesra Bako, ADUN Demak Laut Hulurkan Bantuan Makanan Kepada 159 Buah Keluarga

SELASA, 20 APRIL 2021

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni telah menghulurkan bantuan makanan kepada  159 buah keluarga di Taman Mesra Bako pada Isnin. 

Bantuan makanan telah disampaikan wakil Pusat Khidmat N5 Demak Laut kepada Penghulu Haji Lair dan Ketua Wanita Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Taman Mesra Bako. 

Sementara itu, Dr Hazland ketika dihubungi berkata bantuan makanan ini adalah inisiatif untuk membantu meringankan beban penduduk Taman Mesra Bako yang kini sedang berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). 

“Sepanjang PKPD yang bermula 18 April hingga 1 Mei 2021, semua penduduk di Taman Mesra Bako tidak boleh keluar masuk termasuk membeli makanan mahupun ke tempat kerja. 

“Pelaksanaan Pengesanan Kes Aktif COVID-19  di Taman Mesra Bako telah menyebabkan berlakunya peningkatan kes positif COVID-19. 

“Menyedari masalah yang dihadapi penduduk, saya telah meminta Pusat Khidmat N5 Demak Laut menghantar bantuan makanan segera ke Taman Mesra Bako bagi meringankan beban penduduk,” katanya. 

Bantuan makanan ini untuk keperluan penduduk selama dua minggu. 

Pada Ahad lepas, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah mengambil keputusan melaksanakan PKPD di Taman Mesra Bako ekoran peningkatan kes positif COVID-19 di kawasan itu. -EDISI UKAS

Share

add comment