Seramai 1,300 Penduduk Kampung Tanjung Bundong Fasa Satu Jalani Ujian Pengesanan COVID-19

SELASA, 20 APRIL 2021

KOTA SAMARAHAN: Seramai 1,300 orang penduduk Kampung Tanjung Bundong Fasa Satu di sini menjalani ujian pengesanan COVID-19 bermula hari ini sehingga esok, 21 April 2021.

Pegawai Kesihatan Bahagian Samarahan, Dr Joyoki Chen berkata, kebanyakan yang menjalani ujian pengesanan tersebut hanya melibatkan rumah-rumah yang berdekatan dengan kes sahaja.

Sehubungan dengan itu beliau meminta agar semua penduduk hadir dan memberikan kerjasama di pekarangan Surau Darul Ukhwah, Kampung Tanjung Bundong Fasa Satu untuk melakukan ujian pengesanan tersebut bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, tinjauan pada hari ini mendapati keadaan adalah terkawal di mana penduduk memberikan kerjasama serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan semasa pelaksanaan ujian pengesanan COVID-19 dilakukan.

Difahamkan seramai 32 orang petugas dari Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan ditugaskan untuk melakukan ujian pengesanan COVID-19 bagi tujuan pengambilan sampel iaitu Rapid Test (RT) dan Polymerase Chain Reaction (PCR) sepanjang tempoh dua hari ini. -EDISI UKAS

Share

add comment