Sibu Bahagian Pertama Memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa 2

SELASA, 20 APRIL 2021

SIBU: Sibu bahagian pertama di negeri ini memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa 2 dengan kehadiran lebih 900 orang penerima.

Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak, Dr Annuar Rapee berkata, program tersebut berjaya dianjurkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19 Stadium Tertutup Sibu, pada Isnin.

Ujarnya, pada hari pertama, penerima terdiri daripada warga emas berusia 75 tahun ke atas dan akan menerima dos kedua dalam masa tiga minggu.

Beliau berkata demikian semasa Perasmian PPV COVID-19 Stadium Tertutup Sibu sempena Program Imunisasi COVID-19 Fasa 2.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, Sibu mempunyai 17 PPV bagi melengkapkan program tersebut nanti.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sibu mensasarkan untuk mendaftar 70 peratus daripada sekitar 300,000 penduduk di Bahagian Sibu untuk program vaksinasi.

Sehingga kini, kira-kira 80 peratus telah mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera dan pendaftaran secara manual dan daripada jumlah tersebut, kira-kira 50 peratus telah dimasukkan ke dalam sistem.-EDISI UKAS

Share

add comment