Simoi Peri Prihatin Isu Gangguan Bekalan Elektrik Di Kampung Lingga

SELASA, 20 APRIL 2021

SRI AMAN: Prihatin dengan gangguan bekalan elektrik di Kampung Lingga, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Simoi Peri turun padang menghadiri taklimat berkenaan masalah itu pada Isnin.

Sebelum itu, keluhan penduduk kampung dan pelbagai persepsi negatif terhadap masalah tersebut telah mendapat perhatian daripada ADUN Lingga itu.

Beliau turut dimaklumkan oleh pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) bahawa punca masalah itu disebabkan oleh tanaman pokok kelapa sawit dan pisang yang terkena bahagian wayar elektrik.

Selain itu, kabel bawah tanah juga telah mengalami kerosakan semasa kerja-kerja pembinaan dijalankan di kawasan tersebut.

Dalam pada itu, pihak SEB memaklumkan bahawa wayar elektrik sering dipotong dan dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan bekalan elektrik terputus dengan serta merta apabila berlakunya kilat.

Tambahnya, gangguan tupai dan monyet termasuk pokok tumbang turut menyumbang kepada masalah tersebut.

Justeru, pihak SEB mengingatkan agar kontraktor melakukan ‘cable tracing’ sebelum melaksanakan kerja-kerja mereka.

Dalam pada itu, Simoi berharap agar masalah gangguan bekalan elektrik dapat diselesaikan secepat mungkin dan penduduk setempat boleh membuat aduan menerusi talian Hot Line SEB Sri Aman di 1300-883111 atau 083-322080 pada waktu pejabat. –EDISI UKAS

Share

add comment