12 Rumah Panjang Terlibat Dalam ACD Terima Bantuan Makanan Daripada Pusat Khidmat DUN Kakus

RABU, 21 APRIL 2021

TATAU: Sebanyak 12 buah rumah panjang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus menerima bantuan makanan dari Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus. 

Ini berikutan Pengesanan Kes Aktif (ACD) COVID-19 yang sedang dilaksanakan di 12 buah rumah panjang tersebut. 

Wakil Pusat Khidmat DUN Kakus Eugene John Sikie berkata, bantuan makanan ini adalah untuk meringankan beban penduduk yang tidak dibenarkan keluar rumah kerana menjalani ACD.

“Dalam tempoh tersebut penduduk tidak dapat membeli barang makanan ke pekan berhampiran dan juga mereka tidak dapat pergi ke kebun. 

“Oleh yang demikian bantuan makanan ini diharapkan dapat meringankan beban mereka sepanjang menjalani ACD selama 14 hari itu,” katanya ketika ditemui selepas mengagihkan bantuan makanan di 12 buah rumah panjang itu pada Selasa. 

Antara rumah panjang yang menerima bantuan makanan itu ialah Rumah Budin 6 pintu, Rumah Migi 5 pintu, Rumah Jiram 13 pintu, Rumah Nyaun 2 pintu, Rumah Stevenson 8 pintu, Rumah Subing 8 pintu, Rumah Kinseng 6 pintu, Rumah Muda 14 pintu, Rumah Ambo 9 pintu, Rumah Tangkun/Drahman 14 pintu, Rumah Dingun 14 pintu dan Rumah Lindan 5 pintu. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Isnin telah mengumumkan satu kluster baharu iaitu Kluster Sungai Duan, Mukah dan sehingga kini terdapat  97 kes positif COVID-19 daripada kluster tersebut. -EDISI UKAS

Share

add comment