4 Notis Kompaun Dikeluarkan Langgar Pematuhan SOP Waktu Penutupan Perniagaan

RABU, 21 APRIL 2021

MIRI: Sebanyak empat notis kompaun telah dikeluarkan Majlis Bandaraya Miri (MBM) atas kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) waktu penutupan perniagaan. 

MBM dalam kenyataan media pada Rabu berkata, tindakan ini adalah selaras kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana  (JPBN) Sarawak supaya tindakan lebih tegas dilakukan ke atas  pematuhan SOP bagi mengelak penularan wabak pandemik COVID-19. 

“MBM telah mengeluarkan empat notis kompaun di Taman Tunku kerana berniaga melebih masa ditetapkan dan dikehendaki menghentikan perniagaan mereka,” katanya. 

Dalam pada itu, MBM menggesa semua pengusaha perniagaan memberikan kerjasama penuh dan mematuhi SOP yang telah dikemaskini di kawasan Zon Merah bermula pada 13 April 2021 demi keselamatan semua. 

MBM turut meningkatkan kekerapan operasi penguatkuasaannya untuk memeriksa pematuhan SOP di tempat awam dan juga premis perniagaan di bawah bidang kuasanya. 

Ini termasuk menguatkuasakan operasi perniagaan sehingga jam 10:00 malam kerana masih ada pengusaha dan peniaga yang tidak mengendahkan SOP tersebut pada waktu yang dibenarkan untuk berniaga- EDISI UKAS

Share

add comment