ADUN Batu Kitang Serah PPRMS, Baik Pulih Rumah Warga Emas

RABU, 21 APRIL 2021

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang telah menyempurnakan penyerahan Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) milik seorang warga emas, Ng Ah Fook, pada Rabu.

Lo Khere Chiang yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) memberitahu, pemilik rumah tersebut tinggal bersama ibunya yang sudah uzur dan tidak mempunyai pekerjaan yang tetap sehingga tidak mampu menampung kos membaiki rumah.

Jelasnya, perkara tersebut mendapat perhatian beliau untuk menggunakan peruntukan dana PPRMS RM15,000 bagi membaik pulih rumah Ng Ah Fook.

Kerja-kerja membaik pulih telah dilaksanakan secara gotong royong oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pasar Kota Padawan Batu 10 dengan kerjasama pihak RELA Daerah Padawan yang telah siap sepenuhnya pada 16 April 2021.

ADUN Batu Kitang itu juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan bagi mempercepatkan proses penambahbaikan rumah Ng Ah Fook.

“Saya sangat bertuah kerana semua pihak terutamanya pihak JKKK Pasar Kota Padawan Batu 10 telah berganding bahu menyiapkan rumah ini dengan baik sekali.

“Mereka juga menghulurkan bantuan dari segi kewangan di samping membantu mereka yang memerlukan,” katanya. –EDISI UKAS

Share

add comment