ADUN Batu Kitang Tinjau Masalah Pembuangan Sampah Secara Haram Di Jalan Stapok Utara

RABU, 21 APRIL 2021

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang telah melakukan tinjauan di Jalan Stapok Utara pada Selasa setelah mendapat aduan mengenai masalah pembuangan sampah sarap secara haram di kawasan tersebut.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) membawa wakil dari Syarikat Pengurusan Sisa Buangan Bersepadu, Trienekens serta pegawai MPP untuk melihat sendiri dalam bekerjasama menyelesaikan isu itu.

Penduduk setempat juga menjelaskan bahawa mereka sudah membuat laporan kepada pihak polis dan Persatuan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jalan Stapok Utama, namun masih tiada lagi jalan penyelesaian.

Justeru itu, Lo Khere Chiang menyatakan bahawa MPP akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang membuang sampah secara haram.

Beliau juga menyeru kepada semua masyarakat termasuk mana-mana syarikat yang membuang sampah harus menghubungi Trienekens untuk mengurus sampah sarap secara terus dan tidak menyusah mana-mana pihak. –EDISI UKAS

Share

add comment