ADUN Murum Sertai Misi Penghantaran Bantuan Makanan ke Rumah Ugak Banta, Sungai Jabai, Tubau

RABU, 21 APRIL 2021

MURUM: Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Bintulu dan Pusat Khidmat Masyarakat Murum berganding bahu dalam misi penghantaran bantuan makanan ke Rumah Ugak Banta, Sungai Jabai, Tubau yang sedang menjalani perintah sekatan pergerakan.

Tidak ketinggalan menyertai misi yang dilaksanakan baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon.

Malah Kennedy sendiri membantu memunggah barang makanan dan keperluan lain untuk melancarkan proses penghantaran bantuan tersebut.

Beliau turut berterima kasih kepada barisan hadapan yang begitu komited berkorban menjaga rakyat terutama di kawasan Murum agar terlindung dari bencana pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, Kennedy turut menggunakan kesempatan tersebut untuk meninjau sendiri keadaan kawasan di DUN Murum. – EDISI UKAS