ADUN Pakan Sumbang Pembelian Peralatan Rawatan Pesakit COVID-19 Di Hospital Sarikei

RABU, 21 APRIL 2021

SARIKEI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom menyumbang sebanyak RM24,000 kepada Hospital Sarikei bagi pembelian seunit High Flow Nasal Cannula Airvo 2 bagi keperluan di Unit Kawalan Rapi untuk rawatan kepada pesakit COVID-19.

Majlis penyerahan cek sumbangan itu disempurnakan oleh Tan Sri William Mawan kepada Pengarah Hospital Sarikei, Dr Tey Chiew Chang di Bilik Mesyuarat Hospital Sarikei pada Rabu.

Tan Sri William Mawan dalam pada itu berharap inisiatifnya itu dapat membantu petugas barisan hadapan terutama pihak perubatan di Hospital Sarikei mengurangkan penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan masyarakat.

Peningkatan kes positif di bahagian Sarikei, Pakan dan Julau menyebabkan Unit Kawalan Rapi di Hospital Sarikei memerlukan lebih banyak peralatan perubatan untuk merawat pesakit yang positif.

Sementara itu, Tan Sri William Mawan turut berkesempatan menyaksikan penyerahan projek Transformasi Luar Bandar (RTP) menyimen jalan di depan Rumah Enchangi, Sungai Dandi Ulu Pedanum, Pakan.

Projek RTP ADUN Pakan yang menelan kos sebanyak RM100,000 itu telah bermula pada 15 Disember 2020 dan siap sepenuhnya pada 30 Mac 2021 di bawah seliaan Azura Landscaping & Contruction.

Hadir sama Penolong Jurutera Bahagian, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sarikei Frasser George Micheal, Jurutera Awam JKR Bahagian Sarikei Wong Qing Hsian, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Pakan Dana Ungki, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Residen Sarikei Safidi, wakil dari Pusat Khidmat Cawangan PBB DUN Pakan dan penduduk rumah panjang. – EDISI UKAS

Share

add comment