Daerah Tatau Kini Zon Merah, KMKK Digesa Pertingkatkan Pelaksanaan SOP Di Rumah Panjang Dan Kampung

RABU, 21 APRIL 2021

TATAU: Selepas setahun menjadi zon Hijau, pada Selasa Daerah Tatau telah bertukar menjadi zon Merah selepas mencatat 38 kes baharu. 

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak Datuk John Sikie Tayai berkata, keadaan ini sangat merisaukan dan meminta penduduk di Daerah Tatau ini mempertingkatkan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mencegah penularan COVID-19. 

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak baru-baru ini telah mengumumkan tiga kluster baharu iaitu Kluster Sungai Duan, Mukah, Kluster Sungai Selitut dan Kluster Jalan Bintulu – Sibu di Tatau. 

“Keadaan ini amat merisaukan dan mengingatkan semua masyarakat untuk kekal berada di rumah jika tidak ada urusan yang penting dan jangan keluar rumah. 

“Untuk urusan keluar membeli barangan keperluan harian,  hanya ketua keluarga sahaja dibenarkan,” katanya ketika memberi maklumkan balas berkenaan dengan situasi semasa penularan COVID-19 di Daerah Tatau menerusi media sosial miliknya pada Selasa. 

Sementara itu, bagi mereka yang berada di bandar, tidak dibenar untuk balik ke rumah panjang pada masa ini tanpa hal yang mustahak.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus meminta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) untuk memantau dan memperketatkan SOP di rumah-rumah panjang.

“Jangan berkumpul beramai ramai, tiada apa apa majlis sosial dibenarkan termasuk BBQ. Semua majlis sosial adalah tidak dibenarkan bagi kawasan ini yang berada dalam zon merah. 

“Manakala, Tuai rumah atau Biro Keselamatan dan Kesihatan Kampung/rumah panjang harus mengaktifkan kepolisan komuniti. 

“Walaupun mereka dalam satu rumah panjang yang sama apabila mereka keluar contohnya ke ruai. Pastikan anembiak/ penduduk rumah panjang memakai penutup muka dan sentiasa menjaga jarak masing masing,” ujarnya. 

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa menjaga kebersihan seluruh keluarga, kerap mencuci tangan dan guna hand sanitizer dan ikut semua SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak. -EDISI UKAS

Share

add comment