Jawatankuasa Khas Diwujud Semula Bantu Percepat Status Kewarganegaraan

RABU, 21 APRIL 2021

KUCHING: Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri telah mewujudkan semula Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Di bawah 15A Peringkat Negeri Sarawak.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah yang juga pengerusi jawatankuasa khas tersebut memberitahu jawatankuasa itu hanya memperakukan syor permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan muktamad terletak pada Menteri Kementerian Dalam Negeri.

“Permohonan tersebut hanya bagi kanak-kanak yang tidak mempunyai status kewarganegaraan sahaja,” katanya dalam sidang media di Kuching pada Rabu.

Dalam pada itu beliau memberitahu, pemohonan hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Sarawak bagi memudahcara proses melengkapkan dokumen.

“Faktor yang boleh membantu permohonan kewarganegaraaan ialah dokumen menunjukkan keberadaan kanak-kanak tersebut di Negeri Sarawak.

“Ia seperti kad kesihatan, sijil sekolah dan sebagainya,” ujarnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan dari tahun 2019 hingga 2020, sebanyak 101 kes permohonan telah diketengahkan dalam mesyuarat pertama.

Berhubung isu dadah dan substance, beliau memberitahu, berdasarkan pemetaan daerah, terdapat lima kawasan merah berdasarkan tangkapan berkaitan dadah dan substance dari tempoh Januari hingga Mac 2021.

Lima kawasan tersebut ialah Kuching, Kota Samarahan, Sibu, Bintulu dan Miri. – EDISI UKAS

Share

add comment