Manfaatkan Naik Taraf Masjid Al Asr Untuk Umat Islam Di Kampung Meritam Dan Sekitarnya

RABU, 21 APRIL 2021

LIMBANG: Masjid Al Asr yang sebelum ini merupakan sebuah surau kini telah dinaik taraf sebagai masjid perlu dimanfaatkan sepenuhnya. 

Sehubungan itu, Timbalan Residen Bahagian Limbang Sebi Abang menggesa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al Asr perlu bekerjasama memastikan kemudahan ini digunakan dengan sebaiknya. 

“Kita berasa bangga dan beruntung kerana pada awalnya ini sebuah surau dan kini telah dinaik taraf kepada sebuah masjid. 

“Gunakan dengan sebaiknya kemudahan ini dengan mengajak semua penduduk kampung yang telah akil baligh untuk hadir ke Masjid Al Asr untuk sama-sama mengimarahkan dengan pengisian solat 5 waktu dan program-program yang dianjurkan bersama agensi lain,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas dalam Program Badudun Ramadan Tahun 1142H/2021M di Masjid Al Asr, Kampung Meritam Limbang pada Isnin. 

Program ini mula diperkenalkan pada tahun 2006 oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan pada tahun 2020 ianya tidak dapat dilaksanakan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Pada tahun ini, Program Badudun Ramadan Peringkat Daerah Limbang telah dimulakan di Masjid Al Asr, Kampung Meritam dan akan diikuti lapan tempat yang dipilih mengikut mukim iaitu Mukim Telahak, Gadong, Tedungan, Bandar Limbang, Kubong/Medamit dan Pandaruan. 

Ujar Sebi lagi, memandangkan Sarawak masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Prosedur Operasi Standard (SOP) masih tetap dipatuhi dengan beberapa tambahan dilakukan seperti tidak boleh mengadakan berbuka puasa dan moreh. 

“Bagaimanapun, jika ada sumbangan untuk moreh hanya dibenarkan bungkus dan bawa balik sahaja,” ujarnya.

Pada majlis itu telah diadakan penyampaian sumbangan daripada Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Limbang (JTPIL), Sarawak Energy Berhad Limbang (SEB) dan Jabatan Agama Islam Sarawak Bahagian Limbang (JAIS) kepada golongan asnaf.

Hadir sama Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang Ustaz Awang Abdul Rahim Awang Rosley, Pengurus SESCO Bhd Bahagian Limbang Awang Iderus Awang Ramli, Ketua Kampung Meritam Mahmud Gampal, Pengerusi Persatuan Melayu Limbang Mohamad Abu Bakar dan Ketua Kampung Binjai Bini  Tarudin. -EDISI UKAS