Penutupan Institusi Pendidikan Dalam Kawasan Zon Merah Penting Untuk Putuskan Penularan Wabak COVID-19

RABU, 21 APRIL 2021

MUKAH: Penutupan institusi pendidikan di kawasan zon merah penting dan perlu dilaksanakan sebagai usaha untuk memutuskan penularan wabak COVID-19 dalam kalangan komuniti.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berharap rakyat memahami keputusan Kerajaan Negeri itu kerana mahu memastikan keselamatan rakyat.

Katanya ketika ditemuramah UKAS, usaha untuk memutuskan rantaian wabak itu mampu dicapai jika setiap rakyat di negeri ini mengekalkan disiplin dan sentiasa mematuhi SOP ditetapkan.

Sementara itu, orang awam Azizi Anyut ketika ditemuramah menyambut baik penutupan institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah di kawasan Zon Merah sambil berkata tindakan Kerajaan Sarawak itu amat ditunggu-tunggu oleh rakyat.

Katanya, kebanyakan ibu bapa merasa bimbang untuk menghantar anak-anak ke sekolah, lebih-lebih lagi kenaikan kes yang mendadak di kawasan Mukah disebabkan wujudnya dua kluster iaitu Kluster Jalan Bambangan dan Kluster Sungai Duan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Mukah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam kenyataan media pada Selasa telah memutuskan agar pelajar-pelajar yang tinggal di IPT dan sekolah berasrama tidak dibenarkan keluar atau balik serta dikehendaki untuk terus kekal di asrama masing-masing demi keselamatan diri. – EDISI UKAS

Share

add comment