Sertai Program Jom Baca 2021 Secara Maya Pada 22 April 2021

RABU, 21 APRIL 2021

KUCHING: Pustaka Negeri Sarawak mempelawa orang ramai menyertai Program Jom Baca 2021 yang akan diadakan secara serentak di seluruh Malaysia pada Khamis, 22 April 2021.

Dalam kenyataan medianya pada Rabu, program yang bertujuan memberi kesedaran dan memupuk minat membaca di kalangan masyarakat itu telah mendapat sambutan dan sokongan daripada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato’ Sri Nancy Shukri. 

Dato’ Sri Nancy menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sama-sama menyebarkan gelombang positif ke seluruh negeri kita menerusi pembacaan. 

“Usaha mengadakan Program Jom Baca Bersama ini adalah usaha berterusan kerajaan untuk meletakan Malaysia sabagai sebuah negara yang rakyatnya dikenali dunia sebagai rakyat yang mengamalkan budaya membaca kerana bangsa yang membaca adalah bangsa yang berjaya,” katanya. 

Sepanjang program yang berlangsung sehari itu, Pustaka Negeri Sarawak akan mengadakan pelbagai pengisian secara maya kepada orang awam antaranya Sesi Bercerita Secara Maraton oleh pencerita dari Sarawak dan luar Sarawak yang dijalankan secara langsung di Facebook Pustaka Negeri Sarawak bermula jam 12:00 tengahari hingga 4:30 petang.

Tambah kenyataan itu lagi, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak menghalang Pustaka Negeri Sarawak untuk terus menjayakan program Jom Baca Bersama dengan mengadakan program ini secara atas talian dan menyahut seruan kerajaan untuk kekal membaca dan sentiasa #bacadirumah. -EDISI UKAS

Share

add comment