Abdullah Serah Peruntukan RM59,390 Kepada Penduduk DUN Semop

22 APRIL 2021

SEMOP: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Abdullah Saidol telah menyampaikan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM59,390 semasa lawatan kerjanya ke DUN Semop pada Rabu.

Antara penerima adalah Jawatankuasa Masjid Al-Quddus, Kampung Betanak (RM10,000) bagi membaikpulih tandas dan tempat wuduk dan Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Penuai (RM8,000) untuk menaiktaraf sistem pendawaian, lampu dan kipas Dewan Masyarakat Kampung Penuai.

JKKK Kampung Sebako turut menerima peruntukan sebanyak RM5,000 untuk membaikpulih jambatan dalam kampung manakala 14 buah sekolah di Pulau Bruit menerima peruntukan RM14,000 bagi menjalankan aktiviti sempena bulan ramadan.

Tadika KEMAS Kampung Kut dan Kampung Sebako menerima sumbangan RM5,700 bagi pembelian peralatan pejabat dan set komputer.

Abdullah yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) turut melancarkan Program Pengagihan Juadah Kuih Muih dalam satu majlis ringkas di Kampung Semop.

Program tersebut dianjurkan bersama Belia SABERKAS dan Skuad Sayang yang terdiri daripada masyarakat Kampung Semop dan Kampung Sedi.

Dalam lawatan kerja itu, beliau mengambil kesempatan untuk menziarahi keluarga mantan Ketua Kaum Kampung Serdeng, Abdul Razak Chung.

Lawatan kerja pada kali ini turut diringkaskan dengan hanya melibatkan pihak berkaitan sahaja selain beberapa program dibatalkan bagi mematuhi prosedur kesihatan menangani penularan COVID-19.-EDISI UKAS

Share

add comment