Lebih 2,000 Penduduk Sarikei Bakal Terima Vaksin COVID-19 Bagi Fasa Kedua

KHAMIS, 22 APRIL 2021

SARIKEI: Fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi bahagian Sarikei akan melibatkan 2,340 penerima yang bermula pada 30 April 2021.

Residen Bahagian Sarikei merangkap Pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) Bahagian Sarikei, Felicia Tan Ya Hua berkata, program terbahagi kepada dua lokasi iaitu Dewan Suarah Sarikei dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Sarikei.

“PPV Dewan Suarah Sarikei bakal mengendalikan 2,220 dos vaksin COVID-19.

“Manakala PPV Hospital Sarikei akan mengendalikan 120 dos vaskin COVID-19 dan menjadikan jumlah keseluruhan untuk Fasa 2 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Sarikei adalah 2,340 dos,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Daerah Sarikei pada Khamis.

Beliau turut menyeru penduduk Daerah Sarikei untuk menyemak status temujanji vaksinasasi di aplikasi MYSEJAHTERA untuk pengesahan tarikh bagi pengambilan dos pertama vaksin Covid 19.

Terdahulu, beliau meninjau simulasi program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang diadakan Dewan Suarah Sarikei.

Dewan Suarah Sarikei telah dipilih sebagai PPV Fasa 2 yang dijangka dilaksanakan bermula 30 April hingga 3 Mei 2021.

Taklimat menyeluruh berkenaan tatacara serta proses suntikan yang akan dijalankan nanti disampaikan Pegawai Perubatan, Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei, Dr Johnny Ling Shean Kang. -EDISI UKAS

Share

add comment