Penyedia Perkhidmatan Perlu Dan Pekerja Di Sibu Tidak Perlu Mendapatkan Permit Polis Semasa PKPB

KHAMIS, 22 APRIL 2021

SIBU: Penyedia perkhidmatan perlu dan pekerja mereka tidak perlu mendapatkan permit polis bagi melaksanakan operasi mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dipertingkatkan di Bahagian Sibu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu dan Pemangku Residen Sibu, Wong Hee Sieng berkata, SOP yang dipertingkatkan akan dikuatkuasakan bermula hari ini sehingga 26 April, juga akan menghadkan operasi penyedia perkhidmatan ini sehingga 50 peratus daripada kapasiti biasa mereka.

“Jika anda bukan dalam perkhidmatan perlu, anda tidak dibenarkan untuk beroperasi ketika tempoh ini,” katanya dalam sidang media di sini.

Menurutnya, mereka yang termasuk dalam penyedia perkhidmatan perlu adalah perkhidmatan awam, perkhidmatan perbankan dan kewangan termasuk peminjam/penukar wang berlesen, penyedia perkhidmatan utiliti (termasuk penyenggaraan), pengendalian pelabuhan/penerbangan/kargo, perkhidmatan pos, stesen dan bekalan minyak dan gas/stor, dan perkhidmatan perubatan dan farmasi (termasuk kedai ubatan cina dan herba).

Perkhidmatan lain seperti perkhidmatan pembentungan, telefon dan telekomunikasi (termasuk membaiki telefon dan kedai kad ‘top-up’), perkhidmatan air dan darat (kapasiti 50 peratus), penjualan makanan dan minuman dan bekalan makanan, perkhidmatan servis kenderaan/kapal/bot, penjualan dan bekalan alat tulis, hotel dan penginapan dan aktiviti agrikultur/perikanan/ternakan.

Wong menjelaskan, kesemua penyedia perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi sehingga 8 malam sahaja, kecuali untuk kecemasan, utiliti, pembentungan dan perkhidmatan udara.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan berhubung Bilik Operasi COVID-19 Polis Sibu pada talian 013-9994158 atau 084-323224.

Beliau berkata, walaupun sektor makanan dan minuman dibenarkan untuk beroperasi, namun sepanjang tempoh itu, tidak dibenarkan makan atau minum di kedai.

Tambahnya, permit polis masih diperlukan untuk mereka yang mahu merentas daerah.

Dengan mengurangkan keperluan permohonan permit itu, Wong berkata lebih ramai anggota polis boleh ditugaskan kerja-kerja penguatkuasaan di bahagian itu yang menyaksikan peningkatan kes COVID-19 sejak minggu lepas.

Beliau turut memohon maaf berkaitan kekeliruan permohonan permit dalam kalangan masyarakat baru-baru ini sambil menambah pihak jawatankuasa akan terus melihat semua senarai perkhidmatan perlu dari masa ke semasa berdasarkan kepada situasi COVID-19 di bahagian itu. – EDISI UKAS

Share

add comment