Sejak PKPB SOP Baharu Dikuatkuasakan Pada Isnin, Kadar Aliran Trafik Di Miri Berkurangan

KHAMIS, 22 APRIL 2021

MIRI: Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin telah mengadakan tinjauan ke beberapa lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di Miri dan Beluru pada Rabu. 

Antara lokasi SJR yang ditinjau ialah SJR Bakam, SJR Lambir dan SJR Beluru. 

Tinjauan tersebut bertujuan untuk melihat sendiri keadaan aliran trafik semasa selain membuat semakan keperluan dan kelengkapan pos kawalan SJR. 

Dalam tinjuan itu, beliau telah diberikan taklimat ringkas oleh petugas barisan hadapan yang terdiri daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Sejak pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) baru-baru ini, jumlah aliran trafik telah berjaya dikurangkan kepada 40 peratus di SJR Bakam dan lebih kurang 20 peratus di SJR Lambir dan Beluru.

Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak telah turut membuat keputusan dengan meluluskan segera pemindahan SJR Bakam ke lokasi dekat tanda papan sempadan Miri dan Subis selepas mendapat maklum balas daripada petugas barisan hadapan. 

Beliau telah meminta Pengerusi JPBB Miri yang juga Pemangku Residen Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf untuk membuat pemindahan SJR tersebut secepat mungkin.

Datuk Lee turut menyampaikan ucapan ringkas dan memberikan motivasi serta kata-kata perangsang kepada semua petugas barisan hadapan di tiga SJR untuk meningkatkan semangat pegawai dalam bersama-sama memerangi dan menyekat penularan pandemik COVID-19. -EDISI UKAS

Share

add comment