Tiada Lagi Kompromi, PDRM Bertindak Tegas Ke Atas Pengusaha Premis Dan Individu Langgar SOP PKPB

KHAMIS, 22 APRIL 2021

KUCHING: Polis Di Raja Malaysia (PDRM) menegaskan tiada lagi sebarang kompromi ke atas mana-mana pengusaha premis mahupun individu yang berterusan degil dan gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) khasnya di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah  (IPD) Kuching.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Supt Merbin Lisa dalam sidang medianya pada Rabu berkata, pemantauan dan pemeriksaan ke atas pusat-pusat hiburan, lokasi kedai makan atau ‘Food Court’ serta lokasi tumpuan ramai akan diperhebatkan setiap hari oleh pegawai dan anggota IPD Kuching.

“Perkara ini perlu diambil bagi membendung penularan jangkitan wabak COVID-19 yang semakin hari agak meningkat. 

“Penguatkuasaan secara total dan berterusan perlu dilaksanakan untuk memberi peringatan dan kesedaran kepada masyarakat,” katanya. 

Dalam perkembangan sama, Supt Merbin memaklumkan dua kejayaan berasingan telah dicapai dalam operasi yang dijalankan pada 20 April 2021 oleh pasukan pemantauan (Task Force) Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Balai Polis Sentral.

“Kes pertama, kompaun ke atas sembilan individu iaitu 7 lelaki dan dua perempuan yang berumur di antara 19 hingga 40 tahun  dan merupakan warganegara tempatan kerana tidak mematuhi SOP iaitu tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal di tempat awam (Tebingan Sungai Sarawak). 

“Manakala, kes kedua melibatkan pemilik premis hiburan di Jalan Ang Cheng Ho Kuching bersama tiga pekerjanya serta enam pelanggan (8 lelaki dan dua perempuan) yang berumur di antara 19 hingga 52 tahun telah diambil tindakan kompaun kerana tidak mematuhi SOP iaitu beroperasi lebih masa di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

“Kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Sentral dan IPD Kuching untuk tindakan lanjut dan diterangkan kesalahan yang dilakukan. Kompaun tersebut perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah Kuching dalam tempoh 14 hari,” ujarnya.  

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching juga berharap masyarakat mengambil iktibar di atas penularan jangkitan COVID-19 bahawa penguatkuasaan undang-undang tidak memadai jika tiada kesedaran masyarakat tentang bahayanya wabak ini.  

Pihak penguatkuasa mahupun masyarakat dan individu perlu berganding bahu di dalam usaha untuk memutuskan rantaian COVID-19. -EDISI UKAS

Share

add comment