Dato Sri Fatimah Serah Secara Simbolik Sumbangsih Raya Gawai 2021 Kepada 15 Agensi

JUMAAT, 23 APRIL 2021

KUCHING: Program Sumbangsih Raya Gawai merupakan usaha kerajaan Sarawak untuk mengiktiraf serta menghargai pengorbanan dan komitmen para petugas barisan hadapan di negeri ini semasa sambutan perayaan khususnya mendepani pandemik COVID-19.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bagi tahun ini kerajaan negeri menyerahkan Sumbangsih Raya Gawai dengan cara yang berbeza dengan tahun sebelumnya dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Menurut beliau, pihaknya telah menyerahkan simbolik sumbangan tersebut yang telah berlangsung selama dua hari bermula pada 22 hingga 23 April 2021 kepada 15 agensi.

“Tahun ini ianya berbeza dengan tahun sebelum sebab kita dilanda pandemik COVID-19 dan kita tidak dapat menjalankan aktiviti iaitu penyerahan secara simbolik dengan mengumpul semua agensi yang telah kita kenalpasti.

“Jadi dengan sebab itu kita telah membuat satu strategi di mana kita sendiri sampaikan kepada agensi-agensi tersebut dengan jumlah yang hadir seminima yang boleh dan juga dengan acara yang ringkas kerana yang penting adalah dari segi niat dan mesej yang hendak kita sampaikan semasa kita menyampaikan bungkusan itu.

“Ini merupakan penghargaan daripada kerajaan Sarawak kepada para petugas barisan hadapan atas sumbangan mereka demi memastikan keselamatan rakyat kita sentiasa terjamin terutama dalam semasa pandemik COVID-19 ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis simbolik penyerahan di sini pada Jumaat.

Sebanyak 10,050 kotak Sumbangsih Raya Gawai disediakan pada tahun ini telah diagihkan kepada agensi-agensi yang terlibat iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Penjara Malaysia (JPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jawatankuasa Bencana Bahagian, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Hospital Umum Sarawak, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak dan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri, Jabatan Ketua Menteri.-EDISI UKAS

Share

add comment