Majikan Di Sibu Dinasihati Pastikan Pekerja Patuhi SOP, Jalani Saringan

JUMAAT, 23 APRIL 2021

SIBU: Semua majikan di Sibu dinasihati untuk memastikan pekerja mereka sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja sebagai langkah untuk memutus penularan wabak COVID-19.

Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam merangkap ADUN Nangka, Dr Annuar Rapaee turut menyarankan majikan dalam apa jua sektor untuk memastikan pekerja mereka terutama kumpulan sokongan seperti pengawal keselamatan, pemandu dan pembersih pejabat untuk menjalani saringan.

Katanya, pengawal keselamatan dan pemandu antara kumpulan berisiko yang menyebabkan penularan wabak itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Penguatkuasaan SOP Khusus Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPD) Daerah Sibu pada Khamis.

Dr Annuar yang juga Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan menambah Majlis Perbandaran Sibu juga akan mengeluarkan arahan penutupan semua pantri di pejabat kerajaan di Sibu.

Beliau turut menasihati kakitangan jabatan kerajaan atau syarikat swasta untuk tidak makan di pantri kerana ia dikatakan menjadi punca utama penularan wabak itu di tempat kerja. – EDISI UKAS

Share

add comment