Mayat Penyelam Dilaporkan Hilang Di Pulau Satang Besar Berjaya Ditemui

JUMAAT, 23 APRIL 2021

KUCHING: Mayat seorang penyelam yang dilaporkan hilang pada 17 April lepas berjaya ditemui sekitar 23 batu nautika dari perairan Pulau Satang Besar Kuching. 

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Sarawak, Kapten Maritim Yousry Yaali dalam sidang media pada Khamis berkata penyelamat telah menerima laporan daripada nelayan yang menjumpai satu objek disyaki mayat pada jarak lebih kurang 32 batu nautika dari posisi terakhir mangsa dipercayai hilang dan lebih kurang 16.4 batu nautika dari Utara Tanjung Po sekitar jam 9.00 pagi Khamis.

“Keluarga mangsa percaya mayat yang dijumpai tersebut adalah mangsa yang dicari oleh Pasukan Penyelamat iaitu Chong Su Sian, 31 tahun yang hilang selepas melakukan selaman secara solo atau bersendirian di posisi sekitar 23 batu nautika dari Pulau Satang Besar.

“Mayat seterusnya diserahkan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Balai Polis Lundu untuk proses pengecaman dan tindakan selanjutnya,” katanya. 

Keluasan keseluruhan sektor pencarian di laut pada hari pertama sehingga Khamis adalah merangkumi seluas 1630.66 batu nautika persegi dengan jumlah keseluruhan pegawai dan anggota terlibat sebanyak 207 orang. 

Pencarian telah dilakukan di sekitar perairan Pulau Satang Besar dengan melibatkan dua aset Maritim Malaysia, tiga aset PPM bersama Pasukan Penyelam dan dua aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pencarian melalui udara dilakukan oleh pesawat PGU dan sebuah drone Angesi Penguatkuasaan Maritam (APM). 

Penemuan mayat itu membolehkan operasi Carilamat ditamatkan pada Khamis jam 1.35 petang. -EDISI UKAS

Share

add comment