Orang Ramai Digesa Patuhi Masa Temu Janji Vaksinasi COVID-19

JUMAAT, 23 APRIL 2021

MIRI: Orang ramai yang menerima panggilan temu janji menerusi telefon atau aplikasi MySejahtera sebagai penerima vaksin COVID-19 diminta untuk mematuhi masa yang ditetapkan. 

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata mereka perlu datang setengah jam lebih awal daripada masa temu janji sebenar bagi melancarkan proses vaksinasi. 

“Di sini, saya juga mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua penerima vaksin ikut jadual yang ditetapkan untuk masa vaksinasi mereka. 

“Dan, saya ingin juga meminta mereka untuk hadir di pusat vaksinasi setengah jam sebelum waktu vaksinasi ditetapkan melalui MySejahtera ataupun yang diberitahu pegawai kesihatan yang menelefon,” katanya. 

Beliau berkata demkian semasa ditemui selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Eastwood pada Jumaat. 

Tambah Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak, untuk Fasa Kedua ini, seramai 3,510 orang akan menerima suntikan vaksin COVID-19 di tiga pusat vaksinasi iaitu Dewan Eastwood, Hospital Besar Miri dan Hospital Marudi. 

“Untuk Fasa 2 Miri, kita telah menerima vaksinasi 3,510 orang untuk tiga pusat iaitu di Dewan Eastwood, Hospital Besar Miri dan Hospital Marudi,” tambahnya. 

Bermula 23 hingga 29 April 2021, Program Imunisasi COVID-19 Bahagian Miri Fasa Kedua dikhususkan kepada golongan rentan dan warga emas.

Beliau turut menyeru kepada majikan di Miri supaya memberikan pelepasan kepada mereka yang menemani ibu dan bapa mereka ke Pusat Pemberian Vaksin untuk mendapatkan vaksin COVID-19. 

Turut hadir Pemangku Residen Bahagian Miri yang juga merupakan Pengerusi JPBB Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf,  Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P Raviwharmman dan Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong. -EDISI UKAS

Share

add comment