JUMAAT, 23 APRIL 2021
MIRI: Orang ramai khususnya petani dan peladang di Miri digesa tidak melakukan aktiviti pembakaran secara terbuka.
Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Rabu berkata perbuatan ini boleh mencetuskan wabak kebakaran dan berlakunya jerebu tempatan.
“Pada 21 April lepas, pasukan pengawasan dan rondaan darat Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak telah menghentikan tiga insiden kebakaran tanah gambut di skim penempatan semula di Kuala Baram, tanah kosong di kawasan Perindustrian KB dan Lot 2145 (tanah kosong di Public Park dan Green yang diwartakan di bawah PKS,” katanya.
Ujar Datuk Lee lagi, sebelum ini NREB Sarawak telah menyebarkan risalah mengenai larangan pembakaran terbuka diedarkan kepada petani setempat untuk memberi mereka peringatan tentang bahaya pembakaran terbuka terutama semasa musim kering di Miri.
Dalam pada itu, NREB juga menggunakan megaphone dan hailer drone yang didapati sangat berkesan dalam memadam api setelah mendengar pengumuman audio yang dapat didengar sejauh 1 kilometer.
NREB turut menggunakan seperti penggunaan drone dan pengesanan satelit selain teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) untuk melakukan pengesanan cepat terhadap pemilik tanah dan segala pembakaran terbuka yang dilakukan secara haram di kawasan terpencil.
Berdasarkan laporan pengawasan jerebu harian menunjukkan Indeks Cuaca Kebakaran (FWI) pada 21 April 2021, Miri diklasifikasikan sebagai bahaya di mana pembakaran terbuka dilarang sama sekali.
NREB juga sedang menyiapkan tiga kertas siasatan untuk kes pembakaran terbuka di bawah Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREO).
Sesiapa yang melakukan kesalahan di bawah NREO akan dikenakan denda maksimum RM100,000 dan penjara 5 tahun.
Datuk Lee turut mengucapkan terima kasih di atas tindakan pantas pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Miri, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pemilik tanah yang melakukan rondaan dalam memastikan tidak berlaku wabak kebakaran.
3 pos kawalan kebakaran di Kuala Baram akan dikendalikan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dalam usaha mencapai status bebas jerebu tahun ini. -EDISI UKAS