Polis Marin Wilayah 5 Bintulu Rampas 42 Batang Kayu Balak Pelbagai Saiz Dan Jenis

JUMAAT, 23 APRIL 2021

BINTULU: Sebanyak 42 batang kayu balak pelbagai saiz dan jenis telah dirampas di kawasan lapang tepi jalan di 6.2 km dari Simpang Ladang Samling (AKASIA) Sg. Sera Samarakan Bintulu pada Rabu. 

Pegawai Oemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 5, Bintulu ASP Ezuandi Bahadin berkata, bertindak atas aduan orang awam sepasukan yang dianggotai seorang pegawai dan empat Unit Risikan Marin (URM) PPM Wilayah 5 Bintulu telah membuat pemeriksaan di tempat kejadian. 

“Hasil pemeriksaan, kesemua kayu balak tersebut dipercayai telah ditebang, dimiliki dan diperolehi secara tidak sah kerana tiada sebarang tanda hak milik dan tanda Jabatan Hutan Sarawak (JHS). 

“Pasukan Operasi telah menunggu sehingga dua jam namun tiada pemilik yang tampil untuk menuntut kesemua kayu tersebut. 

“Kesemua 42 batang kayu balak bernilai RM16,800.42 itu telah dirampas dan laporan polis dibuat di Balai Polis Bintulu. Tiada tangkapan dibuat semasa operasi tersebut,” katanya. 

Kes itu diserahkan kepada pihak JHS Bahagian Bintulu untuk tindakan dan siasatan lanjut. -EDISI UKAS

Share

add comment