Ripin Cadang Dibina Sebuah Pusat Penjaja Bersepadu Di Kawasan Taman Tunku

JUMAAT, 23 APRIL 2021

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) telah mengeluarkan empat notis kompaun kepada penjaja di kawasan Taman Tunku kerana berniaga tanpa permit yang sah pada Rabu. 

Susulan kejadian itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat telah mengadakan perjumpaan dengan penjaja-penjaja tersebut di Taman Tunku bagi mendengar penjelasan daripada mereka.

Hasil tinjauan dan pertemuan dengan penjaja, Ripin memberitahu beliau akan mencadang dan membuat permohonan kepada Kerajaan Sarawak dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak bagi membina sebuah Pusat Penjaja Bersepadu di kawasan Taman Tunku untuk menempatkan gerai makanan dan peniaga kecil. 

Beliau juga akan berhubung dengan Jabatan Tanah dan Survey (JTS) untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai, strategik dan mudah dikunjungi oleh orang ramai bagi membolehkan peniaga kecil beroperasi. 

Dalam pada itu, Ripin turut merayu kepada MBM untuk membenarkan peniaga-peniaga ini (bukan bazaar Ramadhan) untuk terus berniaga di tapak sementara tidak jauh dari Pasar Mini Boulevard Taman Tunku. 

Pada masa sama, beliau merayu dan mengingatkan kepada peniaga-peniaga supaya sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan menjaga kebersihan kawasan.

Hadir sama Pegawai Penguasa SEDC Miri Nordin Mus dan Kaunselor Majlis Daerah Subis Hajis Japar Labaw. -EDISI UKAS

Share

add comment