Sarawak Akan Kemuka Cadangan Tambahbaik Sistem Pemberian Vaksin COVID-19

JUMAAT, 23 APRIL 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menambahbaik sistem pemberian vaksin COVID-19 bagi mengatasi kesukaran menghubungi penerima khususnya di kawasan pedalaman.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada Kerajaan Pusat selepas meneliti masalah yang timbul dengan kekangan penggunaan MySejahtera untuk penduduk luar bandar.

“Kerajaan Sarawak akan mencadangkan kepada Kerajaan Pusat untuk kita membuat sistem ‘ala’ Sarawak.

“Ini kerana keadaan di Sarawak berbeza terutamanya melibatkan sistem perhubungan dan jaringan telekomunikasinya yang terbatas.

“Contohnya semasa Program Imunisasi COVID-19 Fasa Kedua di Sibu baru-baru ini, kita mendapati seramai 72 penerima yang telah berdaftar tidak dapat dihubungi.

“Langkah ini akan memastikan penerima yang telah mendaftar mendapat suntikan vaksin COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas meninjau Program Imunisasi COVID-19 Fasa Kedua di Kuching, pada Jumaat.

Tambahnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Kerajaan Pusat telah memberi kelulusan untuk Sarawak membeli vaksin COVID-19 bagi melengkapkan program pemberian vaksin sebelum penghujung Ogos nanti.

“Kita telah berbincang dengan Kerajaan Pusat dan meluluskan permohonan untuk Sarawak membeli vaksin COVID-19 yang akan menjadi bekalan atau simpanan sekiranya ada masalah pada pembekal,” ujarnya.

Sementara itu, bahagian Sibu telah memulakan Program Imunisasi COVID-19 Fasa Kedua pada 19 April dan diikuti bahagian Kuching, Serian, Sri Aman, Betong, Kapit, Mukah dan Miri bermula 23 April.

Fasa kedua turut mensasarkan seramai 929,435 penerima dengan 13 buah pusat pemberian vaksin akan beroperasi di seluruh bahagian sehingga 30 April 2021.-EDISI UKAS

Share

add comment