22 KIR Jalani Kuarantin Di Rumah Di DUN Mambong Terima Bantuan Makanan

SABTU, 24 APRIL 2021

MAMBONG: Gerakan Kemasyarakatan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Mambong telah menyantuni 22 Ketua Isi Rumah (KIR) di kawasan DUN Mambong yang sedang menjalani kuarantin di rumah pada Jumaat.

Bantuan tersebut diserahkan kepada Ketua Kampung bagi mewakili KIR tersebut dan antara kampung yang terlibat ialah Kampung Punau (8 KIR), Kampung Sikog (5), Kampung Prutan (2), RPR Batu Gong (3), Kampung Masaan (2), Kampung Duras (2).

Setiausaha Gerakan Kemasyarakatan DUN Mambong, Cristine yang mengetuai rombongan berkata, pihaknya akan terus berusaha menyantuni masyarakat di kawasan DUN Mambong yang memerlukan atau ditimpa musibah.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada ADUN Mambong, Datuk Dr Jerip Susil yang sentiasa membantu dan menyokong aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan oleh GKDM dalam menyantuni rakyat yang memerlukan serta yang ditimpa musibah di kawasan DUN Mambong.-EDISI UKAS

Share

add comment