ADUN Gedong Agih Bubur Kacang Sempena Ramadan

SABTU, 24 APRIL 2021

GEDONG: Bersempena bulan Ramadan, Menteri Muda Perdagangan dan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Sarawak, Datuk Mohd Naroden Majais telah mengagihkan bubur kacang kepada penduduk setempat di Surau Asyakirin Kampung Kanchong Baru, Gedong pada Sabtu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong memberitahu, selain penduduk Islam, bubur berkenaan turut diagihkan kepada masyarakat bukan Islam sebagai tanda persahabatan dan ikatan silaturahim.

Tambahnya, pengagihan bubur berkenaan adalah program tahunan untuk penduduk Gedong setiap kali menyambut bulan Ramadan.

Pengagihan bubur kacang dan bubur lambuk kepada penduduk di kawasan DUN Gedong telah bermula sejak Jumaat lepas dan dilakukan secara bergilir oleh 11 jawatankuasa surau di situ.

Turut hadir bersama ialah Pegawai Daerah Simunjan, Abdul Khalid Manaf, Penghulu Kampung Kanchong Baru, Abang Ronee Abang Saadeli dan Ketua Zon PBB Gedong, Ali Bujang. -EDISI UKAS

Share

add comment