Fasa Kedua Program Vaksinasi COVID-19 Mukah Bermula Pada Jumaat, Sasar 120 Penerima

SABTU, 24 APRIL 2021

MUKAH: Pemberian dos pertama vaksin COVID-19 bagi Fasa Kedua di Mukah bermula dengan lancar mengikut perancangan pada Jumaat di Dewan Suarah Mukah.

Menurut Residen Bahagian Mukah, Hamdiah Bakir, pihaknya mensasarkan seramai 120 warga emas yang telah disenarai untuk menerima divaksinasi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Bahagian Mukah berkata proses pemberian vaksin yang dianjurkan oleh CITF Daerah Mukah itu berjalan dengan lancar.

Sementara itu, Penghulu Besiri Keri menegaskan vaksin sangat penting untuk antibodi penerima sambil menyeru orang ramai untuk tidak takut menerimanya kerana ianya mustahak untuk membentuk imuniti berkelompok.

Beliau bagaimanapun, mengingatkan orang ramai agar terus mematuhi SOP yang telah diwartakan oleh kerajaan dalam memastikan penularan wabak ini dapat dibendung

Seorang lagi penerima, Cosmas Chukan Tampang menjelaskan beliau menerima vaksin dengan rela untuk menyahut saranan kerajaan bagi memastikan COVID-19 dapat dibendung dari menular dalam masyarakat.

Tambahnya, masyarakat di beberapa kawasan khususnya di rumah panjang, yang pada mulanya menolak vaksin kini sudah terbuka hati untuk mendaftar dan ini merupakan satu perkembangan positif kerana telah wujud kesedaran di peringkat akar umbi akan manfaat pengambilan vaksin.

Tiada kes kritikal atau kesan kritikal selepas proses pemberian vaksin tersebut. – EDISI UKAS

Share

add comment