Jalan Rebak & Jalan Asajaya Ulu Ke Asajaya Laut Sedang Dinaik Taraf

SABTU, 24 APRIL 2021

KOTA SAMARAHAN: Jalan Rebak dan Jalan Asajaya Ulu ke Asajaya Laut di daerah Asajaya kini sedang dinaik taraf melibatkan kerja-kerja pembesaran dan pelebaran jalan di laluan berkenaan.

Penaiktarafan jalan berkenaan dibiayai menerusi peruntukan di bawah Agensi Bersepadu Pembangunan Bahagian Samarahan (IRSDA) melibatkan peruntukan lebih RM40 juta termasuk kerja menaik taraf Jalan Sebandi Ulu ke Sebandi Matang.

Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang melakukan tinjauan ke lokasi kerja-kerja menaik taraf jalan berkenaan bagi memastikan matlamat utama dalam menyediakan jalan yang selamat dan selesa kepada penduduk di kawasan berkenaan.

“Projek menaik taraf jalan Rebak, Asajaya dan Sebandi merupakan inisiatif kerajaan Sarawak menerusi IRSDA yang ditubuhkan bagi merancakkan pembangunan di sini khususnya di kawasan jalan pesisir yang kini menjadi laluan utama kenderaam dari Miri Bintulu dan Sibu ke Kuching.

“Saya menghargai keprihatinan kerajaan Sarawak dalam menyelesaikan masalah jalan ini dengan berkesan sekaligus memahami isi hati rakyat yang memerlukan lebih banyak pembangunan infrastruktur asas seperti jalan, elektrik dan air,” katanya pada Jumaat.

Mengulas berhubung masalah jalan utama dari Jambatan Moyan ke Jambatan Serpan, Rubiah berkata, kerja-kerja menaik taraf jalan dari persimpangan susur keluar laluan Jambatan Batang Samarahan sedang giat dijalankan sehingga ke daerah Asajaya.

Beliau juga akan berbincang dengan Jabatan Kerja Raya Bahagian Samarahan dalam masa terdekat bagi memfokuskan ke kawasan tersebut yang dilihat berada dalam keadaan yang agak teruk akibat kerap digunakan oleh kenderaan berat. -EDISI UKAS

Share

add comment