SABTU, 24 APRIL 2021
LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu menasihati penduduk Kampung Sileng Dayak di daerah Lundu untuk bersabar, kekal berada di rumah dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Ia susulan kampung berkenaan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari berkuatkuasa 23 April hingga 6 Mei depan.
“Saya ingin menasihatkan kepada para penduduk Kampung Sileng Dayak supaya bersabar dan mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh pihak KKM,” katanya semasa melakukan lawatan ke Bilik Gerakan PKPD Kampung Sileng Dayak, Lundu pada Sabtu.
ADUN Tanjong Datu itu turut diberikan taklimat ringkas daripada agensi-agensi yang terlibat seperti Pejabat Kesihatan Daerah Lundu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Lundu, Ibu Pejabat Polis Daerah Lundu serta Jabatan Penerangan Daerah Lundu.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan sumbangan pelitup separuh muka dan sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan di bilik gerakan itu.
Turut serta dalam lawatan itu Residen Bahagian Kuching, Sherrina Hussaini dan Pegawai Daerah Lundu, Gustian Durani.-EDISI UKAS