AHAD, 25 APRIL 2021
BINTULU: Fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Bahagian Bintulu telah bermula Sabtu hingga 26 April ini.
Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung berkata, fasa kedua ini melibatkan 1,638 penerima yang terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas, pesakit yang mempunyai penyakit kronik dan berisiko tinggi serta Orang Kurang Upaya(OKU).
“Untuk hari pertama kita mempunyai 600, hari kedua juga 600 dan hari ketiga 438 penerima.
“Jumlah ini adalah untuk fasa kedua pusingan pertama,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Sri Kenyalang, UPM Kampus Bintulu pada Sabtu.
Selain Dewan Sri Kenyalang UPM Kampus Bintulu, PPV turut akan dibuka di Dewan Sukan Tatau dan Balai Raya Sebauh.
Dalam pada itu, Dr Melvin turut memberitahu pihaknya turut bersedia menerima jumlah vaksin COVID-19 sekiranya bilangan PPV ditambah lagi.
“Kita juga bersedia membuka satu lagi PPV iaitu Dewan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).
“Kita sudah bersedia sekiranya kuantiti vaksin COVID-19 yang akan sampai, kita akan buka,” ujarnya. -EDISI UKAS