762 Orang Terima Suntikan Vaksin COVID-19 Di Sri Aman

AHAD, 25 APRIL 2021

SRI AMAN: Seramai 762 orang golongan berisiko yang berusia 60 tahun ke atas menerima suntikan vaksin COVID-19 di Sri Aman.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis berkata, ia merupakan fasa pertama pemberian vaksin COVID-19 terhadap golongan tersebut.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis menambah, bagi Bahagian Sri Aman, pihak kerajaan menyasarkan seramai 82,379 orang untuk divaksin.

“Justeru, saya menyeru agar masyarakat di Sri Aman membuat pendaftaran segera untuk mendapatkan vaksin melalui MySejahtera atau melalui Pejabat Daerah.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang sukarela mendapatkan suntikan vaksin dan ini menepati aspirasi kerajaan untuk memastikan semua golongan sasar menerima suntikan vaksin,” katanya semasa ditemui dalam Program Suntikan Vaksin COVID-19 Bahagian Sri Aman pada Sabtu.

Dalam program itu juga, Datuk Francis turut menyumbangkan kotak air minuman dan makanan untuk kegunaan petugas yang menjalankan program suntikan vaksin di Dewan Suarah Sri Aman. -EDISI UKAS

Share

add comment