Daftar Segera Sebagai Penerima Vaksin COVID-19 Untuk Lindungi Semua

AHAD, 25 APRIL 2021

MUKAH: Masyarakat di Mukah khususnya warga emas yang belum mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 dinasihatkan agar berbuat demikian.

Menurut Ketua Kaum, Kampung Datuk, Mukah, Julaihi Hassan (65 tahun), dengan mengambil vaksin, masyarakat turut sama memikul tanggungjawab mereka dalam memutuskan penularan pandemik berkenaan.

“Saya syorkan kepada masyarakat yang belum lagi mendaftar untuk mendapafkan vaksin, silalah berbuat demikian kerana itu adalah cara kita untuk mengatasi penularan wabak sekarang ini.

“Itu yang perlu kita pikul, satu tanggungjawab memutuskan penularan wabak,” katanya ketika ditemubual krew UKAS selepas menerima dos pertama vaksin untuk warga emas di Dewan Suarah Mukah pada Sabtu.

Sementara itu, bagi pesara polis berusia 68 tahun, Jamil Othman, layanan mesra dan baik diberikan oleh petugas di pusat penerimaan vaksin menyebabkan rasa sakit akibat suntikan itu tidak dirasai.

“Kita telah dilayan dengan begitu baik sehingga kita tidak merasakan kita akan menerima vaksin.

“Bohong bagi mereka katakan tidak sakit, memang ada rasa sakit sikit namun oleh kerana layanan yang terbaik kesakitan itu kurang,” katanya.

Fasa kedua program imunisasi kebangsaan di Mukah telah memasuki hari kedua pada Sabtu dengan sasaran untuk memvaksin seramai 120 penerima. – EDISI UKAS

Share

add comment