Liga Premier 2021: SUFC Kempunan Pintas NSFC, KUFC Kecewa Lagi

AHAD, 25 APRIL 2021

KUCHING: Hasrat Sarawak United FC (SUFC) untuk memintas pendahulu Liga Premier 2021, Negeri Sembilan FC (NSFC) tidak kesampaian selepas keduanya terikat 1-1 dalam aksi berlangsung di Stadium Paroi pada Sabtu.

SUFC yang membariskan kesebelasan terbaiknya mengejutkan penyokong tuan rumah dengan mendahului seawal minit pertama menerusi jaringan Muhammad Gopi Rizki.

Tersentap dengan gol tersebut, NSFC bangkit mengatur gerakan demi gerakan untuk mencari jaringan penyamaan dan berjaya mengikat kedudukan hasil jaringan Alain Thierry Akono Akono pada minit ke-62.

Keputusan itu mengekalkan NSFC di puncak liga dengan 18 mata diekori rapat SUFC dengan 17 mata namun berkelebihan satu perlawanan.

Sementara itu, Kelantan United FC menambah derita Kuching City FC (KUFC) apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 dalam aksi turut berlangsung malam tadi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Gol Kelantan United FC dijaringkan oleh Fakhrul Zaman Wan Abdillah pada minit ke-52.

KUFC kini menghuni tangga ke-10 dengan mengumpul tujuh mata. – EDISI UKAS

Share

add comment