Program Imunisasi Kebangsaan Fasa Kedua Bahagian Miri Berjalan Lancar

AHAD, 25 APRIL 2021

MIRI: Program Imunisasi Kebangsaan Fasa Kedua di Bahagian Miri yang bermula pada Sabtu berjalan lancar. 

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin menerusi kenyataan media pada Sabtu berkata, beliau berpuas hati dengan perjalanan pemberian vaksin COVID-19 di Hospital Miri.

“Sebanyak 216 vaksin COVID-19 diberikan kepada golongan warga emas, individu yang mempunyai penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Proses pemberian vaksin COVID-19 pada hari pertama bagi fasa kedua yang dikhususkan kepada warga emas, individu yang mempunyai comorbid selain golongan OKU ini berjalan dengan licin, teratur dan cekap,” katanya selepas melakukan lawatan dan meninjau proses pemberian vaksin COVID-19 di PPV Hospital Miri pada Sabtu. 

Sebanyak 3,510 dos vaksin COVID-19 diterima bagi fasa kedua untuk Bahagian Miri.

Hospital Miri adalah merupakan antara tiga PPV yang telah ditetapkan untuk bahagian Miri bagi tujuan pemberian vaksin COVID-19 Fasa 2 selain PPV Dewan Eastwood dan PPV Hospital Marudi. 

Dalam pada itu, Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak menambah, Kerajaan Sarawak menambah mensasarkan sebanyak 80 peratus rakyat menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Untuk itu, segeralah mendaftar di aplikasi MySejahtera atau atau laman web khas di www.vaksincovid.gov.my. 

“Manakala, bagi yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera atau tidak mempunyai akses kepada kemudahan internet adalah diminta untuk mengemukakan permohonan vaksinasi COVID-19 melalui empat (4) saluran berikut Pejabat-pejabat Daerah, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), Kapitan dan Tuai Rumah yang dibantu oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing, Jawatankuasa Penduduk (RC)(Majlis Bandaraya Miri, Majlis Daerah Subis, Majlis Daerah Marudi) dan Klinik Kesihatan yang berdekatan (bagi kawasan pedalaman sahaja) pada waktu pejabat, Isnin hingga Jumaat,” tambahnya.

Terdahulu, beliau telah meminta JPBB Miri menambah tiga unit kanopi yang dilengkapkan dengan kipas bagi memberikan kemudahan dan keselesaan kepada penerima vaksin yang menunggu.

Turut hadir Pemangku Residen Bahagian Miri yang juga merupakan Pengerusi JPBB Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P Raviwharmman dan Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong. -EDISI UKAS