120 Orang Terima Dos Pertama Vaksin Covid-19 Fasa Kedua Di Mukah

AHAD, 26 APRIL 2021

MUKAH: Seramai 120 individu warga emas telah menerima suntikan vaksin dos pertama COVID-1 fasa kedua di Daerah Mukah pada Ahad.

Sepanjang tinjauan dijalankan, rata-rata penerima vaksin menyatakan kepuasan dan memuji perkhidmatan yang diterima semasa berada di pusat vaksinasi.

Demikian menurut salah seorang penerima yang dikenali sebagai Drahman Akup dalam perkongsian beliau setelah menerima vaksin berkenaan.

“Ada rasa gementar sebelum mengambil vaksin, namun bila dah terima vaksin, tiada apa-apa.

“Layanan di sini amat baik dan alhamdulillah, aliran pengambilan vaksin selesa,” katanya.

Ia  turut disokong oleh penerima bernama Duwin Ulih yang amat berpuas hati dengan layanan yang diterimanya.

“Perkhidmatan di pusat penerimaan vaksin adalah sangat memuaskan.

“Selepas menerima suntikan, saya tidak merasa apa-apa, macam rasa gigitan semut sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, kesemua penerima mengesyorkan agar lebih ramai orang untuk tampil mendapatkan vaksin demi perlindungan diri, keluarga dan orang lain.

Setakat ini, tiada kes bergejala teruk sepanjang pemerhatian di pusat penerimaan vaksin tersebut.-EDISI UKAS

Share
0