ADUN Senadin Sumbang 80 Set Tilam Dan Bantal Ke PKRC Miri

ISNIN, 26 APRIL 2021

MIRI: Sebanyak 80 set tilam lengkap dengan bantal, cadar serta sarung bantal telah disumbangkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Dalam kenyataan media pada Ahad, Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin berkata, ini susulan daripada aduan pesakit COVID-19 yang telah dikuarantin sebelum ini berkenaan keadaan tilam dan bantal yang tidak baik dan perlu diganti 

“Sumbangan ini adalah untuk kegunaan pesakit COVID-19 yang telah dipindahkan dari Hospital Miri ke PKRC,” katanya. 

PKRC dan Hospital Miri menempatkan semua pesakit positif COVID-19 bagi seluruh bahagian Miri seperti Daerah Miri, Subis, Telang Usan, Marudi dan Beluru. 

Setakat ini seramai 700 orang pesakit positif COVID-19 telah ditempatkan di PKRC dan Hospital Miri berbanding 800 kapasiti sedia ada. 

Ujar Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak lagi, disebabkan kes positif COVID-19 meningkat JPBB Miri telah menyewa premis untuk dijadikan sebagai PKRC. 

“Setakat ini, PKRC Miri dan Hospital Miri termasuk premis yang baru disewa boleh menampung sehingga 1,100 pesakit COVID-19,” ujarnya. 

Sementara itu, Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong ketika ditemui melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Lee atas sumbangan tilam dan bantal yang sekaligus memberikan keselesaan kepada pesakit COVID-19. 

“Saya mewakili Hospital Miri mengucapkan terima kasih kepada Datuk Lee yang memberikan sumbangan tilam dan bantal untuk kegunaan pesakit COVID-19 di PKRC ini. 

“Pada masa sama, saya juga memaklumkan Hospital Miri turut menjalankan Program Imunisasi Kebangsaan Fasa Kedua bagi warga emas, mereka yang mempunyai penyakit dan Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya. 

Turut hadir Pemangku Residen Bahagian Miri yang juga merupakan Pengerusi JPBB Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P.Raviwharmman, kakitangan Pusat Khidmat DUN Senadin Kaunselor Jeffry Phang, Kaunselor Kueh Chee Tiong dan Liew Han Pin. -EDISI UKAS

Share

add comment