Jadikan Pematuhan SOP PKPB Sebagai Amalan Di Daerah Limbang

ISNIN, 26 APRIL 2021

LIMBANG: Pejabat Residen Bahagian Limbang akan sentiasa melaksana, memantau dan menasihat terhadap apa sahaja aktiviti, projek dan penguatkuasaan yang diarahkan kerajaan untuk rakyat.

Timbalan Residen Bahagian Limbang Sebi Abang berkata, ini bagi membolehkan rakyat di negeri dapat hidup dalam keadaan aman dan damai di samping rakyatnya yang berbilang kaum.

“Saya menghargai usaha Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Daerah Limbang yang setiap tahun tanpa gagal menganjurkan program-proram keagamaan bukan sahaja Program Badudun, malahan aktiviti-aktiviti sambutan perayaan Islam yang lain sepanjang tahun. 

“Pada tahun ini penganjurannya diadakan dalam norma baharu berpandukan kepada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya, semasa berucap dalam Program Badudun Ramadhan yang diadakan di Masjid Darul Muttaqin, Kampung Gadong baru-baru ini. 

Dalam pada itu, Sebi turut mengingatkan masyarakat di Daerah Limbang untuk terus mengamalkan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang kini berstatus Kuning dengan sentiasa menjaga penjarakan fizikal, mengguna pelitup muka, sentiasa mencuci tangan dan yang paling penting menjaga kebersihan kendiri dan persekitaran tempat tinggal. 

Hadir sama Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat, Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang Ustaz Awang Abdul Rahim Awang Rosley, Pemanca Abu Bakar Tinggal, Penghulu Dulahpi Bakar, Ketua Kampung Gadong Tasat Bujang dan Pengerusi HIKMAH Cawangan Limbang Matusin Bakar. -EDISI UKAS

Share

add comment