Masyarakat Terus Digesa Daftar Terima Vaksin COVID-19

ISNIN, 26 APRIL 2021

MUKAH: Masyarakat terus digesa untuk mendaftar mendapatkan vaksin COVID-19 dan dianggap sebagai satu tanggungjawab bersama memutuskan rantaian pandemik itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi sekali lagi mengingatkan pendaftaran boleh dilakukan melalui aplikasi MySejahtera atau di Pejabat Daerah.

Tambahnya juga, seperti yang lain, beliau tidak merasa kesan sampingan daripada suntikan vaksin tersebut.

“Saya ingin menyeru kepada semua untuk mendaftar mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 ini sama ada menerusi MySejahtera atau di Pejabat Daerah.

“Kita berharap semua dapat mendaftar secepat mungkin demi kepentingan bersama,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas bersama 96 penerima yang lain melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 bagi dos kedua di Dewan Suarah Mukah pada Ahad.

Sementara itu bagi salah seorang penerima, Joslee Ramli, beliau bertambah yakin selepas menerima vaksin COVID-19 dan pada beliau ianya memberi sinar kepada semua untuk menjalani kehidupan seperti sebelum ini.

“Orang ramai tidak perlu bimbang untuk mendapatkan vaksin COVID-19 dan berilah sokongan kepada usaha kerajaan memutuskan rantaian pandemik ini.

“Semoga dengan usaha ini kita dapat menjalani kehidupan normal seperti yang sebelum terjadinya pandemik COVID-19,” katanya.-EDISI UKAS

Share

add comment