Musim Kering Dijangka Melanda Miri, Agensi Bersiap Sedia Hadapi Sebarang Kemungkinan

ISNIN, 26 APRIL 2021

MIRI: Musim kering dijangka akan melanda Bahagian Miri pada bulan ini yang boleh mengakibatkan kebakaran tanah gambut dan jerebu. 

Sehubungan itu, Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin menggesa agensi-agensi berkenaan untuk bersiap sedia dalam menghadapi situasi bencana ini. 

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Miri telah menerima 10 kes secara purata dalam sehari bagi kebakaran terbuka termasuk di kawasan kampung.

“Ini merupakan tanda-tanda akan tercetusnya kebakaran lebih besar dan jerebu sekiranya tidak dapat dikawal dan ditangani dengan awal serta mengambil langkah kecemasan.

“Sebelum ini kebakaran tanah gambut pernah berlaku di Kuala Baram, Tudan dan Permyjaya yang meliputi sebahagian besar kawasan gambut di Miri sehingga mengakibatkan jerebu yang merbahaya,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Menara Tinjau Tudan pada Sabtu. 

Pada 21 April lepas, pasukan pengawasan dan rondaan darat Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak telah menghentikan tiga insiden kebakaran tanah gambut di kawasan sekitar Kuala Baram, Permyjaya dan Go Kart Miri.

Beliau turut memaklumkan akan mewujudkan Pos Kawalan Pencegahan Awal Kebakaran yang terdiri daripada petugas RELA berdasarkan syif di lokasi strategi iaitu dua di Kuala Baram dan satu berdekatan dengan Curtin Universiti.

“Saya telah meminta Pejabat Residen Bahagian Miri untuk mengadakan perbincangan terperinci dengan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan Jawatankkuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk memperhalusi peranan yang perlu diambil dalam usaha membendung kebakaran terbuka ini.

“Selain itu, semua pihak termasuk orang awam, tuan punya tanah dan agensi berkaitan perlu bekerjasama dan memandang serius perkara ini dalam usaha mencegah berlakunya kebakaran terbuka dan jerebu setiap tahun,” ujarnya. 

Hadir sama Pemangku Residen Miri merangkap Pengerusi JPBB Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pegawai NREB Wilayah Utara Miri Joseph Uyo, Penolong Pegawai Kawalan Tertinggi Jabatan Alam Sekitar (JAS) Miri Rosdi Nawi dan Ketua Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong. -EDISI UKAS

Share

add comment