Orang Ramai Di Daerah Limbang Yang Telah Mendaftar Sebagai Penerima Vaksin COVID-19 Mula Terima Suntikan Vaksin

ISNIN, 26 APRIL 2021

LIMBANG: Golongan warga emas, mereka yang berisiko tinggi dan Orang Kurang Upaya (OKU) di Daerah Limbang mula menerima suntikan vaksin COVID-19 Fasa Kedua pada Sabtu. 

Seramai 228 orang menerima vaksin COVID-19 yang berlangsung di Dewan Suarah Limbang dan jumlah yang sama juga akan turut menerima vaksin pada Ahad. 

Tinjauan mendapati, pelbagai reaksi dapat dilihat sebelum menerima suntikan vaksin COVID-19 antaranya gembira, teruja dan takut disebabkan telah banyak mendengar cerita keburukan daripada kebaikan  dalam pengambilan vaksin COVID-19 ini.

Walaupun bagaimanapun, proses perjalanan suntikan vaksin COVID-19 berjalan lancar kerana turut dibantu oleh sukarelawan dari Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Bahagian Limbang yang telah dilatih untuk membantu staf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melaksanakan sekurang-kurangnya 80 peratus pengambilan vaksin untuk penduduk di Daerah Limbang. 

Dalam pada itu, satu pasukan kempen khas telah ditubuhkan dan akan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta untuk menyampaikan kebaikan Imunisasi COVID-19 di seluruh Daerah Limbang. 

Terdahulu, pada Jumaat seramai 120 orang telah menerima imunisasi dos kedua vaksin COVID-19 di Dewan Suarah Limbang. -EDISI UKAS

Share

add comment