Program Bubur Lambuk Anjuran SABERKAS DUN Batu Danau Eratkan Hubungan Silaturahim Antara Kaum

ISNIN, 26 APRIL 2021

LIMBANG: Program Bubur Lambuk anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) adalah medium terbaik bagi menjalin dan mengeratkan hubungan baik antara kaum.

Menurut Pengerusi SABERKAS Cawangan Batu Danau Paulus Palu Gumbang, program yang dianjurkan menerusi acara tahunan ini semenangnya mendapat sambutan luar biasa daripada pelbagai kaum biarpun diadakan dalam bulan Ramadan. 

“Penganjuran Program Bubur Lambuk SABERKAS pada tahun ini diadakan di Kampung Belading dan ianya diadakan secara bergilir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Danau. 

“Ini adalah medium terbaik untuk semua lapisan masyarakat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dalam kalangan ahli bersama penduduk kampung serta agensi kerajaan yang terlibat,” katanya semasa berucap dalam Program Pengagihan Bubur Lambuk SABERKAS Cawangan Batu Danau di Surau Kampung Belading pada Sabtu. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau menambah, aktiviti sebegini mendapat kerjasama dan bantuan daripada masyarakat bukan Islam yang turut sama menyediakan bubur lambuk. 

Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, Pegawai Tadbir Pejabat Residen Limbang Cherylynna Leeza Roland, Pegawai Jabatan Agama Islam Bahagian Limbang Suhaimi Mohamad, Penghulu Ahmad Bini dan Ketua Pergerakan Pemuda PBB Batu Danau Kaunselor Elvis Mathew Bungsu. -EDISI UKAS