Program Taqarrub Ramadan DUN Bukit Kota Dekati Golongan Asnaf

ISNIN, 26 APRIL 2021

LIMBANG: Pada tahun ini kita telah dapat mengadakan Program Taqarrub Ramadan di beberapa buah kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota selepas tahun lepas tidak dapat melaksanakannya. 

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, beberapa buah surau telah dipilih untuk diadakan penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf.

“Pada kali ini Program Taqarrub Ramadan diadakan Surau Al Muqarrabin, Kampung Nauran.

“Seramai 10 orang golongan asnaf yang telah dipilih oleh Ketua Kampung akan menerima sumbangan bagi meringankan beban menyambut Ramadan pada tahun ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Taqarrub Ramadan Tahun 1442H/2021M di Surau Al Muqarrabin, Kampung Nauran, Limbang pada Sabtu.

Datuk Dr Abdul Rahman yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota turut mengumumkan berita baik kepada penduduk Kampung Nauran apabila bersetuju meluluskan geran Projek Kecil Luar Bandar (RTP) ADUN Bukit Kota bagi menambah baik Surau Al Muqarrabin.

“Saya telah meluluskan sebanyak RM50,000 menerusi RTP ADUN Bukit Kota bagi menaik taraf Surau Al Muqarrabin. 

“Ini akan digunakan untuk melebarkan kawasan tepi dan mengubah suai kawasan belakang Surau Al Muqarrabin terutama bahagian dapur,” ujarnya. -EDISI UKAS

Share

add comment