Ahli Parlimen Tanjong Manis Lengkapkan Suntikan Vaksin COVID-19

SELASA, 27 APRIL 2021

SARIKEI: Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab melengkapkan suntikan vaksin untuk dos kedua bertempat di Klinik Kesihatan Sarikei pada Isnin.

Terdahulu, beliau telah menyempurnakan pengagihan sumbangan buah kurma kepada penduduk Kampung Selalang melalui ketua kaum dan wakil untuk diagihkan kepada masyarakat muslim di kawasan masing-masing.

Kampung Selalang terbahagi kepada tiga Ketua Isi Rumah (KIR) iaitu Kampung Masjid Baru (95 KIR), Kampung Bunga Tanjung (59 KIR) dan Kampung Hilir (58 KIR).

Sebelum meneruskan pengagihan sumbangan di kawasan Bintangor, Yusuf berkesempatan menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah melalui Pemanca Rapen Sukin Angga di kaunter zakat di Masjid Darul Taqwa Bintangor.

Sumbangan di kawasan Bintangor terdiri daripada kawasan Zon 1 Kampung Bintangor (78 KIR), Zon 2 Jalan Abg Amin (103 KIR), Zon 3 Jalan Abang Ali (84 KIR), Zon 4 Kampung Bidadari (71 KIR) Zon 5 Jalan Muhibbah (62 KIR), Zon 6 Kampung Gelam (57 KIR), Zon 7 Jambatan Merah (78 KIR), Tanjung Bundong (48 KIR) dan kawasan perumahan Bintangor (16 KIR).

Manakala di kawasan Sarikei pula di kawasan Susur Jambu (200 KIR), Susur Jambu Sentebu (210 KIR) dan Perumahan Sarikei (83 KIR).

Beliau turut menzahirkan rasa prihatin dengan apa yang dialami masyarakat ketika ini dan berpesan kepada mereka agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dikeluarkan oleh pihak berkuasa untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. – EDISI UKAS

Share

add comment