Individu Tidak Dibenarkan Berada Di Tempat Awam Selepas Jam 8 Malam, Majikan Diwajibkan Laksana Bekerja Dari Rumah

SELASA, 27 APRIL 2021

BINTULU: Berkuatkuasa 27 April hingga 10 Mei 2021, individu tidak lagi dibenarkan berada di tempat awam selepas jam 8.00 malam. 

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu Jack Aman Luat berkata ini sejajar dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu yang telah dikemaskini pada Isnin. 

“Tiada individu dibenarkan berada di tempat awam selepas jam 8.00 malam tanpa sebab atau alasan yang munasabah.

“Sekiranya gagal memberikan alasan munasabah, individu berkenaan boleh dikenakan kompaun serta merta,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat JPBB Bintulu yang diadakan di Pejabat Residen Bahagian Bintulu pada Isnin.

Tambah Jack lagi, bagi mereka yang ingin membeli barangan keperluan rumah hanya dua isi rumah sahaja dibenarkan keluar dalam radius tidak melebihi 10 km dari kediaman atau ke tempat paling hampir dengan kediaman sekiranya bekalan keperluan tersebut tiada dalam radius 10 km dari kediaman mereka. 

Dalam pada itu, Jack yang juga Residen Bahagian Bintulu turut memberitahu semua sektor pekerjaan di Bahagian Bintulu diwajibkan melaksanakan bekerja dari rumah.

“Semua sektor pekerjaan juga diwajibkan melaksanakan 70 peratus kakitangannya bekerja dari rumah dan hanya 30 peratus  sahaja kehadiran ke pejabat,” ujarnya. 

Hadir sama Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr. Melvin Chung, Ketua Polis Daerah Bintulu Supt. Zulkipli Suhaili dan Pegawai Daerah Bintulu Muhammad Dino Amid. -EDISI UKAS

Share

add comment