Ketua Menteri Kongsi Idea Untuk AZAM Sarawak Lebih Efektif Dalam Era Baharu Ini

SELASA, 27 APRIL 2021

KUCHING: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia, Kuching pada Selasa.

Pengerusinya, Datu William Patrick Nyigor ketika ditemui media memberitahu, kunjungan tersebut bertujuan memberi gambaran menyeluruh mengenai aktiviti dan cadangan untuk memperkasakan AZAM Sarawak dengan lebih efektif dalam era baharu ini.

Katanya lagi, kunjungan itu juga adalah untuk mendengar maklum balas, ulasan dan tunjuk ajar daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari telah memberikan tunjuk ajar dan cadangan bagaimana AZAM Sarawak boleh menjadi lebih efektif dalam era baharu ini terutamanya dalam memberi taklimat dan berkomunikasi dengan kumpulan sasar seperti penduduk luar bandar, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan belia khususnya dalam ekonomi digital ini.

“Dalam pada itu, Ketua Menteri juga menyebut dan menyentuh mengenai kepentingan menjaga alam semulajadi.

“Ini adalah satu tema yang baru diberikan Ketua Menteri kepada AZAM Sarawak,” jelasnya kepada media.-EDISI UKAS

Share

add comment