Penganjur Terpaksa Membawa Bekalan Makanan Berbuka Puasa Di Masjid Nur At Tayyibah, Kampung Ipai

SELASA, 27 APRIL 2021

LIMBANG: Keadaan jarak Masjid Nur At Tayyibah, Kampung Ipai  yang jauh telah menyebabkan penganjur yang hadir terpaksa membawa bekalan makanan sendiri untuk berbuka puasa. 

Menurut Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang Ustaz Awang Abdul Rahim Awang Rosley ini disebabkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarakat (PKPB) tidak membenarkan berbuka puasa di masjid.

“SOP PKPB tidak membenarkan diadakan majlis berbuka puasa di masjid dan surau. 

“Bagaimanapun, disebabkan jarak masjid ini jauh kami terpaksa membawa bekalan makanan sendiri untuk berbuka sebelum diadakan Program Badudun Ramadan ini.

“Walau bagaimanapun, SOP tetap dipatuhi bagi mengelak penularan wabak COVID-19,” katanya semasa menyampaikan ucapan aluan dalam Program Badudun Ramadan Tahun 1442H/2021M di Masjid Nur At Tayyibah, Kampung Ipai pada baru-baru ini. 

Tambah Ustaz Awang Abdul Rahim lagi, ini merupakan kali ketiga Program Badudun Ramadan Tahun 1442H/2021M diadakan yang merupakan anjuran Persatuan Melayu Limbang, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Limbang dan Jabatan Agama Islam Sarawak  (JAIS) Bahagian Limbang. 

Ujarnya lagi, penganjuran Program Badudun Ramadan bertujuan membantu golongan asnaf yang terpilih melalui program-program dan aktiviti keagamaan. 

Pada majlis itu, telah diadakan penyampaian sumbangan berupa barangan keperluan makanan dan wang tunai bagi meringankan golongan asnaf semasa di bulan Ramadan ini. 

Hadir sama Pemanca Abu Bakar Tinggal, Penghulu Ahmad Bini, Ketua Kampung Ipai Latip Yahaya, Pengerusi PML Mohamad Abu Bakar dan wakil KEMAS Bahagian Limbang Rapiah Osman. -EDISI UKAS

Share
0